
Pakar kejuruteraan aeroangkasa, Dato’ Dr. Ahmad Sabirin Arshad dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM yang baharu bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 April 2021.Dr Ahmad Sabirin, 57, sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Aerospace Ventures, sebuah anak syarikat bagi syarikat minyak dan gas, UZMA Berhad. Sebelum itu, beliau memegang pelbagai jawatan di Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB), sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan dengan jawatan terakhirnya sebagai Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dari tahun 2000 hingga 2019.
Beliau adalah antara perintis kumpulan jurutera yang terlibat dalam pembangunan satelit MEASAT-1 di Hughes Aircraft Company (kini Boeing). Beliau juga antara kumpulan yang mempelopori pembangunan satelit mikro pertama Malaysia, TiungSAT-1, yang telah dilancarkan ke orbit pada 26 September 2000.
Beliau seterusnya mengetuai kumpulan jurutera untuk mereka bentuk, membangun, melancar dan pengoperasian satelit kedua negara, RazakSAT. Dr Ahmad Sabirin juga berperanan dalam mengetuai pasukan penyediaan logistik dan sokongan saintifik untuk pelancaran Angkasawan Pertama Malaysia ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada tahun 2007.
Program penting lain yang beliau telah ketuai termasuklah pengaturan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional dan Pengesan Radiasi Mesra Alam.
Dr Ahmad Sabirin mendapat pendidikan tinggi di California Maritime Academy dalam Ijazah Sarjana Muda Sains (B.Sc) Kejuruteraan Marin pada 1986; lepasan Diploma dalam Pendidikan dari Universiti Teknologi Malaysia pada 1988, Sarjana Kejuruteraan (M.Eng) dalam Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Malaya pada tahun 1990; dan Doktor Falsafah(PhD) dalam Kejuruteraan Mekanikal – Combustion dari University of Wales College of Cardiff, UK pada 1993.